PENGISIAN MARKAH PEPERIKSAAN

Sunday 22 March 2015

KEIKHLASAN @ SINCERITY

"Ikhlas merupakan suatu sikap yang sukar dicapai oleh umat Islam. Ia bukan dihitung melalui banyaknya seseorang mengerjakan amalan, atau lafaz keikhlasan yang diucapkan."

Apa itu ikhlas? Bagaimana mengukur ikhlas? Apa ikhlas itu boleh dinilai? Pelbagai soalan muncul untuk mengulas perkataan ikhlas. Ikhlas mengikut Kamus al-Farid ianya memberi maksud sebagai sincerity, honest dan loyalty. Ia ada kaitan dengan kejujuran. Ikhlas juga memberi pengertian tentang bersih, jernih, murni dan suci.

Mengikut Kamus Dewan pula, ikhlas memberi erti hati suci, tidak menipu dan tidak berpura-pura. Perkataan ikhlas itu diambil dari perkataan Arab iaitu khuluuson atau kholaason yang memberi maksud jernih dan bersih daripada pencemaran. Ungkapan ikhlas menggambarkan pengertian tentang bersih, jernih, murni dan suci daripada pencampuran atau pencemaran sifat lain.

Ikhlas adalah merupakan istilah tauhid. Orang-orang yang ikhlas adalah mereka yang mengesakan Allah dan merupakan hamba-hamba-Nya yang terpilih. Manakala menurut istilah syarak memberi maksud mengesakan Allah Yang Hak dalam berniat melakukan ketaatan, bertujuan hanya kepada-Nya tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.

Seseorang yang ikhlas tidak peduli akan penghargaan. Mereka juga tidak ingin untuk dipuji kebaikan mereka . Mereka hanya inginkan keredhaan Allah s.w.t. Mereka berpegang kepada firman Allah dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud:
"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat . Dan yang demikian itulah agama yang benar."

No comments:

Post a Comment