PENGISIAN MARKAH PEPERIKSAAN

Monday 30 March 2015

MTQ PERINGKAT DAERAH KUALA KANGSAR 2015

TAHNIAH! Tiga peserta dari SK Sungai Siput (U) telah berjaya terpilih 3 terbaik dalam MTQ Peringkat daerah Kuala Kangsar yang telah diadakan pada 28 Mac 2015 di SMK Temenggong, Kati.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PERLIS DAN KEDAH





Lawatan sambil belajar ke negeri Perlis dan Kedah  telah diadakan pada 27 hingga 28 Mac 2015.Peserta lawatan seramai 60 orang murid dan 8 orang guru telah melawati tempat-tempat menarik seperti Taman Ular, Taman Anggur, Gua Kelam, Padang Besar, Pusat Seni, Pekan Rabu,Pusat Sains Wilayah Utara dan Muzium Padi.




Sunday 22 March 2015

KEIKHLASAN @ SINCERITY

"Ikhlas merupakan suatu sikap yang sukar dicapai oleh umat Islam. Ia bukan dihitung melalui banyaknya seseorang mengerjakan amalan, atau lafaz keikhlasan yang diucapkan."

Apa itu ikhlas? Bagaimana mengukur ikhlas? Apa ikhlas itu boleh dinilai? Pelbagai soalan muncul untuk mengulas perkataan ikhlas. Ikhlas mengikut Kamus al-Farid ianya memberi maksud sebagai sincerity, honest dan loyalty. Ia ada kaitan dengan kejujuran. Ikhlas juga memberi pengertian tentang bersih, jernih, murni dan suci.

Mengikut Kamus Dewan pula, ikhlas memberi erti hati suci, tidak menipu dan tidak berpura-pura. Perkataan ikhlas itu diambil dari perkataan Arab iaitu khuluuson atau kholaason yang memberi maksud jernih dan bersih daripada pencemaran. Ungkapan ikhlas menggambarkan pengertian tentang bersih, jernih, murni dan suci daripada pencampuran atau pencemaran sifat lain.

Ikhlas adalah merupakan istilah tauhid. Orang-orang yang ikhlas adalah mereka yang mengesakan Allah dan merupakan hamba-hamba-Nya yang terpilih. Manakala menurut istilah syarak memberi maksud mengesakan Allah Yang Hak dalam berniat melakukan ketaatan, bertujuan hanya kepada-Nya tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.

Seseorang yang ikhlas tidak peduli akan penghargaan. Mereka juga tidak ingin untuk dipuji kebaikan mereka . Mereka hanya inginkan keredhaan Allah s.w.t. Mereka berpegang kepada firman Allah dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud:
"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat . Dan yang demikian itulah agama yang benar."

Saturday 14 March 2015

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Orang tua-tua dahulu banyak meninggalkan kepada kita, perumpamaan-perumpamaan yang merupakan kiasan-kiasan perkataan. Kiasan tersebut perlu kita teliti sejauh manakah kepentingannya boleh membantu kita. Namun semestinya setiap perumpamaan itu mengandungi banyak pengertian. Banyak yang tersurat dan sudah tentu banyak juga yang tersirat. Apakah setiap perumpamaan yang menjadi peninggalan datuk nenek kita dahulu telah atau akan kita praktikan? Mungkinkah ianya hanyalah sebagai hiasan atau kata-kata yang kita rasa sedap dibicarakan atau didengari?

Perumpamaan tersebut sentiasa bermain di bibir setiap insan yang mengikuti perkembangannya. Perumpamaan yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Sentiasa menjadi 'evergreen', umpamanya 'muafakat membawa berkat', 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat' dan 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', sentiasa segar sehingga kini. Ia tentunya mengandungi suatu yang tersimpan yang perlu kita huraikan. Juga ianya perlu kita terjemahkan dalam kehidupan kita seharian.

Dalam aspek ini, untuk menterjemahkan 'muafakat membawa berkat, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memastikan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta terlibat sebagai rakan dalam pendidikan. Penumpuan yang dibuat adalah untuk manfaatkan kelebihan saing pelbagai pihak bagi menyampaikan pendidikan berkualiti secara bersepadu, berkesan dan cekap.

Langkah-langkah yang diambil adalah melalui;
1. Meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan komuniti tentang peranan mereka dalam pendidikan anak-anak.
2. Menyediakan bimbingan kepada sekolah bagi memacukan proses penglibatan ibu bapa dan komuniti.
3. Mengaitkan bantuan kewangan untuk murid miskin dengan peningkatan pelibatan ibu bapa
4. Mengumpulkan PIBG untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pelibatan ibu bapa dan komuniti.
5. Meningkatkan jaringan Sekolah Amanah dan bidang lain untuk pelibatan sektor awam.

Sistem pembelajaran mengiktiraf bahawa pembelajaran berlaku di luar lingkungan sekolah dan boleh berlaku di rumah serta dalam komuniti. Sekolah sewajarnya dapat menyediakan persekitaran yang kondusif unntuk jalinan hubungan kerja positif antara sekolah dengan ibu bapa dan komuniti.

Kewujudan 'muafakat membawa berkat' dapat disalurkan atau dijalankan melalui hubungan dan kerjasama pihak sekolah dengan pihak lain yang berkaitan. Antaranya;
1. Kerjasama sekolah dengan ibu bapa
2. Kerjasama sekolah dengan komuniti

Untuk mengekalkan 'muafakat membawa berkat' serta perumpamaan yang lain, beberapa perumpamaan yang ditinggalkan kepada kita perlu dihapuskan. Melalui penghapusan tersebut maka jalinan serta jaringan sekolah dengan ibu bapa dan komuniti. Oleh itu adalah wajar, perumpamaan
'jangan jaga tepi kain' dihapuskan. 'Jaga tepi kain orang lain' boleh membantu antara sesama kita dalam mengekalkan 'muafakat membawa berkat'.

Saturday 7 March 2015

SK ADALAH SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI SIPUT (U)

Tak kenal maka tak cinta. Ungkapan ini bukan sahaja digunakan antara manusia dengan manusia malahan turut digunakan kepada semua makhluk yang ada di atas bumi Allah ini. Untuk mengenali sesuatu atau seseorang yang pastinya kita mengenali identitinya terlebih dahulu. Hakikatnya, identiti itu adalah terbentuk melalui dua aspek iaitu dalaman dan luaran. Identiti luaran melalui pandangan zahir iaitu fizikal manakala aspek dalaman adalah pandangan batin iaitu akal, emosi dan spiritual.

Kamus dewan menyatakan bahawa identiti itu bermaksud aspek-aspek tertentu atau ciri-ciri tertentu yang dapat menunjukkan sifat diri seseorang atau sifat diri sesuatu objek. Bagi manusia ia boleh dikaitkan dengan keperibadian atau tingkah laku. Begitu juga kepada bukan manusia, identiti adalah sesuatu kelainan atau perlambangan yang menjadi pengenalan. Untuk lebih memudahkan, identiti adalah merujuk kepada keadaan atau sifat sesuatu sama ada manusia atau objek yang lain. Identiti sewajarnya sesuatu yang konsisten iaitu tidak berubah-ubah.

Bagi sesebuah sekolah, ia mempunyai identiti tersendiri. Meskipun semua sekolah mempunyai pakaian seragam yang sama namun ia ada kelainan dalam beberapa aspek bagi menentukan atau memperkenalkan identiti sekolah. Indentiti pertama yang perlu dilihat ialah kepada lencana sekolah tersebut. Pelbagai bentuk, warna dan corak lencana sekolah mengikut pelbagai sekolah yang pastinya melambangkan identiti sekolah masing-masing. Begitu juga tali leher dan pelbagai lagi.

Sekolah Kebangsaan Sungai Siput (U) sejak lama dahulu dikenali dengan pangilan SK. Sebut sahaja SK di Sungai Siput (U) ini, maka masyarakat di sini telah faham itu adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Siput (U). Itulah sebabnya, apabila kita bertanya kepada seseorang budak di Sungai Siput (U) ini, bersekolah di mana? Sekiraya budak itu menjawab, SK, maka itu adalah murid Sekolah Kebangsaan Sungai Siput (U). Kalau murid lain selain dari murid Sekolah Kebangsaan Sungai Siput (U), ia akan menjawab, Sekolah Kebangsaan.......... (diikuti nama sekolah). SK itu adalah indentiti yang utama bagi Sekolah Kebangsaan Sungai Siput (U).

Thursday 5 March 2015

SKSSU JUARA BOLA SEPAK DAERAH K.KANGSAR 2015




KHAMIS 5 MAC 2015 : Tahniah diucapkan kepada jurulatih dan para pemain bola sepak SKSSU kerana telah berjaya menjadi johan bola sepak  peringkat daerah Kuala Kangsar dengan mengalahkan SK Sayong 4-0 di padang SK Sg Siput.
Lihat gambar lain..klik sini

Monday 2 March 2015

ILMU ITU PERLU

Assalamualaikum. Semua warga SK Sungai Siput (U).

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana kita dapat bertemu lagi. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Apabila mati seseorang manusia, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah yang pahalanya selalu mengalir (sedekah jariah), ilmu yang bermanfaat serta anak soleh yang selalu mendoakan."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tiga perkara yang tersebut di atas, pastinya perkara yang kedua memberi kelebihan kepada kita yang bergelar guru. Melalui pengajaran dan pembelajaran, ilmu dapat disalurkan kepada penerima ilmu iaitu murid. Murid pula akan meningkat dewasa dan pasti ilmu yang diterima olehnya dapat disalurkan kepada generasi selepasnya. Tambahan pula ilmu yang dicurahkan itu adalah ilmu yang banyak memberi manfaat kepada semua.

Ilmu yang bermanfaat akan terus kekal membuahkan pahala selagi mana ia diamalkan. Amalan tersebut diamalkan tidak kira oleh diri sendiri ataupun oleh orang lagi. Paling penting, selagi mana ilmu itu disebarkan dan juga ilmu itu diamalkan. Imam al-Ghazali telah menegaskan bahawa ilmu itu imam, amal itu makmumnya. Begitulah pentingnya ilmu itu kepada kita. Ayat al-Quran yang pertama juga adalah berkaitan dengan ilmu. Iqra' yang membawa perkaitan dengan membaca.

Jatuh cinta sering juga dikaitkan dengan remaja, namun berapa ramai remaja yang mampu jatuh cinta dengan ilmu? Kita perlu sedar bahawa ilmu itu jauh lebih menguntungkan berbanding harta yang menimbun. Untuk mendapatkan ilmu bukanlah mudah. Ilmu diperolehi melalui usaha yang gigih. Perlu ada ketekunan dan perlu ada pengorbanan untuk mendapatkan ilmu. Apabila kita meletakkan ilmu itu sebagai satu keperluan, kita sanggup bersusah payah untuk mendapatan.

Ilmu itu keperluan kepada semua pihak. Ilmu yang dicurahkan itu bukalahn hanya kepada murid semata-mata. Semua peringkat umur memerlukan ilmu. Menuntut ilmu bukan semata-mata kepada anak-anak, malahan orang dewasa juga penting untuk menuntut ilmu. Oleh itu, tanamkanlah dalam diri kita bahawa menuntut ilmu itu wajib ke atas semua pihak. Kita juga wajar membudayakan ilmu sepanjang hayat.