PENGISIAN MARKAH PEPERIKSAAN

Wednesday 13 May 2015

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Budi bahasa budaya kita bukan sekadar ungkapan tetapi merupakan satu tatacara hidup. Berbudi bahasa dan amalan-amalan nilai-nilai murni amat penting dalam kehidupan kita yang bermasyarakat. Masyarakat yang harmoni, berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai seperti ini mampu melahirkan satu bangsa yang budiman. Setiap orang wajar mempunyai sifat-sifat yang mulia, beradab, bersopan santun, tersisip dengan semangat perpaduan dan tolong menolong, bertoleransi, saling memahami, cintakan kedamaian dan kebersihan serta cintakan negara.

Pemupukan dan penghayatan budi bahasa dan nilai-nilai murni di semua lapisan masyarakat perlu diberi tumpuan. Ianya bermula dari murid sekolah hinggalah ke lapisan profesional dan pemimpin. Bagi membentuk satu bangsa yang terbilang, semua msyarakat bertanggungjawab menghindarkan diri dari nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, kotor, yang melanggar bahasa dan tidak mengendahkan tatasusila yang beradab. Amalan dan penerapan budi bahasa dan nilai-nilai murni perlu dipraktikkan sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan dalam perlakuan dan pergaulan.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya adalah simpulan bahasa yang amat sesuai sekali untuk menyemai budaya berbudi bahasa daripada peringkat awal lagi iaitu peringkat awal alam persekolahan. Ini adalah disebabkan murid-murid di peringkat sekolah mudah dibentuk dan ditanam dalam diri mereka dengan nilai-nilai murni. Sekolah menjadi saluran utama kerana sekolah dan guru mampu untuk mendidik dengan segala ilmu bahkan menanam rasa untuk berbudi bahasa serta berakhlak mulia. Murid dari peringkat awal persekolahan lagi telah belajar dan diajar untuk menghormati guru.

Budi bahasa budaya kita, adalah amalan yang perlu dibuat dalam pelbagai kumpulan atau peringkat. Ada peringkat di antara guru dengan murid dan ada peringkat di antara murid dengan rakan sebaya. Bagi peringkat di antara guru dengan murid, tumpuan adalah khusus untuk mendidik murid-murid agar mempunyai nilai murni yang tinggi seperti berdisiplin, menggunakan bahasa yang sopan dan beradab, berani mengaku kesalahan yang dilakukan serta bersedia untuk memohon maaf, mentaati jadual sekolah, tidak ponteng dalam untuk mengikuti setiap subjek pengajaran dan pembelajaran dan menjaga kesihatan diri dan persekitaran sekolah.

Amalan untuk peringkat di antara murid dengan rakan sebaya pula adalah lebih tertumpu kepada dorongan dan galakan. Tumpuan lebih banyak ke arah memotovasikan diri. Sikap saling hormat menghormati sesama rakan adalah perlu dilakukan. Ucapan salam atau ucapan selamat antara mereka perlu diutamakan. Di sini akan tertanam rasa hormati menghormati antara mereka. Disamping itu, ia dapat memupuk sikap menghargai perbezaan beragama, latar belakang masyarakat dan budaya masing-masing. Menghargai idea, fikiran dan pendapat serta hak milik rakan sebaya, saling membantu dan bekerjasama sesama rakan sebaya juga amalan mulia yang perlu dilakukan.

Banyak aktiviti boleh dilakukan di peringkat sekolah sebagai pengisian amalan budi bahasa budaya kita ini. Antaranya dengan mengadakan ceramah dan pameran, mengadakan pelbagai pertandingan seperti kuiz, pidato dan permainan tradisional boleh melahirkan individu dan juga masyarakat yang mempunyai identiti positif, berfikiran luas, terbuka serta bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada keluarga, rakan, jiran, pemimpin, guru dan persekitaran. Amalan budi bahasa budaya kita adalah amalan mulia yang boleh membentuk sikap yang positif kepada kita. Sikap individu yang positif pula akan dapat membentuk masyarakat yang harmoni dan muhibah.

No comments:

Post a Comment